Cristiano Ronaldo sekali lagi mendominasi Serie A ketika bersama Juventus, tetapi Liga Juara-Juara (UCL) merupakan trofi yang paling dihajati pasukan Itali itu selepas mereka terkandas dalam pusingan 16 kepada Lyon, minggu lalu.

Kekecewaannya itu terbukti sambil menuntut rakan sepasukannya agar bangkit musim depan.

Harga paling mahal atas kegagalan itu terbukti apabila jaguh Itali berkenaan memecat Maurizio Sarri dan melantik Andrea Pirlo, tetapi tindakan lebih menggemparkan mungkin melibatkan masa depan Ronaldo.

Laporan di Perancis mengaitkan bintang Portugis itu dengan Paris Saint-Germain (PSG).

Namun, wartawan Sepanyol, Guillem Balague, mendedahkan ejen Ronaldo, iaitu Jorge Mendes telah diarahkan untuk mencari kelab baru buat pemain itu dan Barcelona antara pasukan yang dikaitkan.




Khabar angin ke kelab Catalunya itu mula menjadi buah mulut atas kebarangkalian untuk melihat Ronaldo bergandingan bersama Lionel Messi buat pertama kalinya dalam karier mereka.

"Punca Cristiano Ronaldo dikaitkan dengan PSG tidak begitu besar berbanding PSG memikirkan untuk mendapatkannya, ini kerana Jorge Mendes telah diberi arahan untuk mencari pasukan untuk Ronaldo," kata Balague kepada BBC Radio 5 Live.

"Kami telah menghidu perkara ini sejak enam bulan lalu, dia sempat dikaitkan dengan Real Madrid.

"Mereka mengatakan ia adalah mustahil, dia tidak akan kembali.

"Kancah MLS juga dikaitkan kerana Juventus mahu meringankan beban membayar gajinya..

"Ia begitu drastik. Dia telah ditawarkan ke mana-mana kelab termasuk Barcelona.

"Saya tidak pasti sama ada mereka boleh menyingkirkannya dengan mudah memandangkan dia menikmati gaji bersih yang lumayan -- €23 juta (RM114j) -- ketika di Real Madrid dan saya rasa tangga gajinya itu tetap sama apabila dia ke Juventus.

"Siapa lagi yang mampu membayar wang sebanyak itu?"