Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, bersetuju dengan luahan Cristiano Ronaldo yang mendakwa gergasi Serie A itu mempunyai semangat sepasukan yang tinggi.

Ronaldo, 33, berkata Juve memberikannya perasaan kekeluargaan yang lebih besar berbanding ketika dia mewakili Real Madrid.

Menjelang pertemuan 'derby' dengan Torino dalam Serie A, awal pagi nanti, Allegri bersetuju dengan kenyataan itu sambil menyatakan semangat sedemikian merupakan kunci utama kejayaan Juve.

"Jika itu yang Ronaldo katakan, ia sememangnya benar.

"Sebagai sebuah kelab, Juventus merupakan tempat yang mudah untuk bekerja.

"Ia sebuah organisasi yang hebat.

"Kami tidak memperoleh keputusan yang hebat kerana membeli pemain yang hebat.

"Sebaliknya, ia disebabkan kelab ini terlalu kukuh dan kuat.

"Kami tidak akan mendapat keputusan yang baik jika tidak memiliki pihak pengurusan yang hebat.

"Ia pasti akan menyukarkan barisan kejurulatihan dan pemain," katanya.

Juve kini pasukan pilihan untuk meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

Mereka kini berkelebihan lapan mata di puncak Serie A.