BOLOGNA 0 JUVENTUS 2

Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo, mengatasi rekod Rui Costa sebagai penjaring utama pemain Portugis dalam kancah Serie A, awal pagi tadi.


Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti dalam babak pertama untuk kemenangan 2-0 ke atas Bologna di tempat lawan, keputusan itu menyaksikan Bianconeri melebarkan kelebihan di tangga teratas dengan empat mata.

Skuad bimbingan Maurizio Sarri itu membuka tirai jaringan menerusi sentuhan Ronaldo pada minit ke-23 sebelum Paulo Dybala melengkapkan kemenangan sebelum rehat.

Ia jaringan yang ke-22 Ronaldo dalam Serie A musim ini, satu gol mengatasi jumlah keseluruhan dirakamnya dalam kemunculan pertama di Turin susulan perpindahannya daripada Real Madrid pada 2018.

Dengan pencapaian 43 gol, pemain berusia 35 tahun itu juga melangkaui Rui Costa sebagai pemain dari Portugal dengan gol terbanyak dalam saingan utama Itali.



Rui Costa berkelana ke Serie A apabila sempat mewakili Fiorentina dan Milan di antara 1994 dan 2006.

Dalam masa sama, bekas bintang Manchester United itu kekal sebagai penjaring terbanyak Portugis dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan reputasi 84 gol menerusi 196 penampilan.

Dia juga merupakan penyerang terkemuka negara itu dalam sejarah LaLiga selepas mencatat 311 gol dalam 292 penampilan buat Real Madrid, di mana dia muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Hanya ketua pasukan Barcelona, ​​Lionel Messi, yang mampu menjaringkan lebih banyak gol daripadanya dalam LaLiga.