REAL MADRID 5 SEVILLA 0

Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, berasakan keyakinannya terhadap Cristiano Ronaldo akhirnya terbayar ketika penyerang bintangnya itu membantu pasukan meraih kemenangan 5-0 ke atas Sevilla, awal pagi tadi.


Bintang Portugal itu, yang memenangi Ballon d'Or buat kali kelima untuk menyamai pencapaian Lionel Messi, merupakan inspirasi Real ketika membenam pelawat di Santiago Bernabeu.

Ronaldo menjaringkan dua gol ketika berdepan skuad bimbingan Eduardo Berizzo itu yang tewas kepada Real dengan keputusan 5-0 sebelum tamat separuh masa pertama, dengan Nacho Fernandez, Toni Kroos dan Achraf tersenarai sebagai pencetak jaringan.

Zidane mempertahankan persembahan Ronaldo sepanjang musim ini bagi saingan LaLiga dan beliau percaya pemain berusia 32 tahun itu semakin menemui sentuhannya.

"Ini merupakan minggu yang sempurna dan saya berharap dia dapat terus mengekalkan rentak ini," kata Zidane.

"Saya telah memberitahu perkara ini kerana saya mengenali Ronaldo dan keazamannya, saya mengetahui dia akan menjaringkan gol."

Zidane, yang berharap Real akan mengekalkan prestasi ini kerana bakal menghadapi saingan Piala Dunia Kelab dan El Clasico pada 23 Disember ini, menyifatkan cabaran yang lebih sukar menanti mereka.

"Diharap Real akan terus menjaringkan gol, kami mahu terus beraksi cemerlang.

"Permainan kami semakin meningkat. Ia merupakan satu kejayaaan apabila menjaringkan gol ke atas pasukan seperti Sevilla.

Juara Eropah itu akan memberikan tumpuan kepada perlawanan separuh akhir Piala Dunia Kelab minggu depan, dengan pertemuan berdepan Al-Jazira, Rabu ini.

Zidane turut memberikan perkhabaran gembira dengan Raphael Varane dan Gareth Bale kembali cergas untuk menghadapi saingan di Abu Dhabi nanti.

"Mereka akan bersama pasukan. Saya akan terus memantau perkembangan mereka dan menilai mereka sebelum diturunkan beraksi."