Roma dan Milan telah mengharamkan Corriere dello Sport daripada membuat liputan di tempat latihan mereka dan memberitahu pemain supaya tidak bercakap dengan akhbar itu sepanjang tahun ini.

Khamis lalu, akhbar sukan harian Itali itu menerbitkan tajuk utama berbunyi, 'Black Friday' -- dengan memaparkan gambar pemain Roma, Chris Smalling, dan pemain Inter, Romelu Lukaku -- menjelang pertembungan Serie A di antara kedua-dua pasukan tersebut.

Tajuk itu menerima kritikan secara meluas kerana dianggap sebagai tidak sensitif terhadap isu perkauman sambil Smalling dan Lukaku melahirkan kekecewaan mereka.

Bagaimanapun, editor Corriere dello Sport menyifatkan tajuk tersebut sebagai "tidak bersalah" serta menegaskan perkataan itu mencerminkan "kebanggaan terhadap perbezaan, keindahan terhadap perbezaan", sambil menambah: "Jika anda tidak memahaminya, itu adalah kerana anda tidak boleh atau anda tidak mahu."

Kelab-kelab berkenaan mengumumkan sekatan mereka terhadap akhbar berkenaan dalam satu kenyataan bersama.

Ia berbunyi: "Kami percaya bahawa pemain, kelab, penyokong dan media harus bersatu dalam memerangi perkauman dalam bola sepak dan kita semua mempunyai tanggungjawab untuk memilih perkataan yang tepat dalam mesej yang kami sampaikan.

"Sebagai tindak balas kepada tajuk 'Black Friday' yang diterbitkan oleh akhbar itu, Roma dan Milan memutuskan untuk mengharamkan Corriere dello Sport daripada kemudahan gelanggang latihan kami sepanjang tahun ini dan pemain kami tidak akan melayani sebarang kegiatan media dengan akhbar berkenaan selama tempoh tersebut.

"Kedua-dua kelab tersebut sedar bahawa artikel akhbar berkenaan yang dikaitkan dengan tajuk utama itu adalah untuk menggambarkan mesej anti-perkauman dan oleh sebab itu, kami hanya mengharamkan Corriere dello Sport sehingga Januari ini. Kami tetap komited untuk menangani perkauman."