Edin Dzeko menegaskan AS Roma masih belum mencapai tahap terbaik walaupun dia mencatat hatrik tatkala pasukannya menewaskan Viktoria Plzen 5-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Penggempur Bosnia itu memberikan Roma pendahuluan selepas tiga minit aksi di Stadium Olimpico sebelum menggandakan kelebihan pada minit ke-40 dan melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga peribadi dalam waktu kecederaan babak kedua.

Cengiz Under dan Justin Kluivert turut meletakkan nama dalam senarai penjaring tatkala Roma mengharungi kemenangan ketiga berturut-turut tetapi Dzeko berkata skuad bimbingan Eusebio Di Francesco itu masih mampu untuk terus berkembang.

"Kami tidak bermula cemerlang sebagai satu pasukan musim ini," kata Dzeko.

"Sebelum ini, jelas sekali saya tidak menjaringkan banyak gol seperti yang dimahukan.

"Hari ini adalah permainan sempurna buat saya dan pasukan. Kami cuma perlu meneruskannya kerana saya tidak fikir ia persembahan maksimum.

"Kami mampu melakukannya dengan lebih baik," ujarnya.

Roma mengharungi permulaan musim selama sebulan tanpa kemenangan, tewas 3-0 di tangan Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara tetapi bangkit menundukkan Frosinone 4-0 sebelum memenangi pertemuan setempat Rome berdepan Lazio 3-1 di laman sendiri.

Kemenangan ke atas Plzen membolehkan Roma mencatat rekod 12 gol dan satu bolos dalam tiga perlawanan terakhir dan ia jelas menggembirakan Di Francesco.

"Kami mahukan kemenangan ini dan tidak akan cepat berpuas hati," ujar Di Francesco.

"Kami hanya melepaskan sedikit gol dan mahu meneruskannya.

"Saingan Liga Juara-Juara tidak pernah mudah tetapi kami membuktikan hari ini bahawa kami lebih unggul."