Rodrigo lalui ujian perubatan sebelum kehadiran Murillo di Barcelona

Oleh Staff Writer 29 Disember 2018 582
Rodrigo lalui ujian perubatan sebelum kehadiran Murillo di Barcelona
Rodrigo Caio mendedahkan dia telah menjalani ujian perubatan bersama Barcelona sebelum kelab LaLiga itu membuat keputusan mendapatkan Jeison Murillo.

Barca memperkukuhkan benteng bulan ini dengan membawa masuk Murillo secara pinjaman daripada Valencia sehingga penghujung musim ini dalam perjanjian yang turut melibatkan pilihan pembelian tetap bernilai EUR25 juta (RM118 juta).

Bagaimanapun, bek tengah Sao Paulo, Rodrigo, yang telah tampil empat kali bersama skuad kebangsaan Brazil, berkata dia juga berada dalam radar Barca dan melepasi ujian kesihatan bersama The Catalans tetapi terlepas peluang untuk mendatangani kontrak bersama mereka.

"Saya melalui ujian kesihatan dan ia positif," kata Rodrigo.

"Mereka mempunyai dua pilihan, sama ada saya atau Murillo, dan Barca memilih Murillo.

"Ia telah berlaku dan apabila saya meninggalkan bilik ujian, Murillo telah dipilih.

"Mengetahui mereka berminat untuk mendapatkan saya telah cukup untuk memberikan kegembiraan. Ia adalah petanda mereka mengikuti saya dan potensi yang dimiliki."

Walaupun kecewa perpindahan itu tidak dapat dilengkapkan, Rodrigo menolak untuk membiarkan situasi itu mengganggunya.

"Sudah tentu anda kecewa tetapi ia sebahagian daripada bola sepak.

"Saya berfikir secara positif, ia tidak mudah buat saya tetapi saya tetap tenang tatkala kontrak saya bersama Sao Paulo berbaki tiga tahun.

"Saya tenang menunggu peluang itu dan satu hari nanti saya akan beraksi di Eropah."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen