Pengurus Bayern Munich, Niko Kovac, menjelaskan Arjen Robben kini berada di tahap motivasi terbaik menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Ajax tatkala pemain berusia 34 tahun itu mahu meneruskan prestasi hebat musim ini.

Robben, yang memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik Eredivisie serta gelaran liga bersama seteru Ajax, PSV Eindhoven, di antara 2002 dan 2004, telah menjaringkan tiga gol dalam lima penampilan Bundesliga musim ini.

Kovac memiliki banyak pilihan di bahagian sayap apabila Franck Ribery, Serge Gnabry dan James Rodriguez bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama tetapi dia menegaskan Robben akan meraih peluang sewaktu berdepan Ajax, awal pagi esok.

"Robben sangat arif tentang bola sepak Belanda dan dia berkemungkinan besar akan beraksi esok," ujar Kovac.

"Dia sangat bermotivasi. Dia melakukan 96 penampilan buat negaranya. Dia datang dari Eindhoven dan sudah tentu menghadirkan motivasi yang bagus.

"Robben mahu membuktikan bahawa dia masih seorang pemain yang hebat dan dia benar-benar bagus. Saya mahu dia terus mara ke depan."

Kontrak Robben bakal tamat penghujung musim ini, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya bersama Bayern tetapi prestasi hebat yang ditampilkan ketika ini meningkatkan keinginan penyokong untuk melihatnya terus beraksi di Allianz Arena.

Bekas penggempur Chelsea itu mendedahkan persaraannya di peringkat antarabangsa telah membantu meningkatkan kecergasan tetapi haluannya musim depan masih belum boleh diramal.

"Saya rasa bagus dan suka berada di sini," kata Robben.

"Kita akan tahu apa berlaku selepas kontrak berakhir.

"Saya rasa penting untuk beraksi dalam banyak perlawanan bagi mengekalkan rentak tetapi anda juga memerlukan rehat apabila semakin berusia.

"Salah satu sebab saya bersara daripada peringkat antarabangsa adalah untuk mengekalkan kualiti dan terus bermain pada tahap ini.

"Kami berdepan beberapa minggu akan datang di mana saya boleh mendapatkan semula kecergasan dan tempoh rehat ini benar-benar penting buat saya.

"Saya tidak memikirkan pengakhiran. Ia boleh jadi setahun, dua tahun atau tiga tahun. Saya tidak mampu meramalkan masa depan. Hanya tunggu dan lihat.

"Saya tidak boleh menentang lumrah alam. Mungkin ia memang patut berakhir tetapi mungkin seseorang telah memberitahu saya agar berhenti," katanya lagi.