Robben, Rafinha tuntut aksi lebih baik Bayern

Oleh Penulis Jemputan 24 Oktober 2018 48
Robben, Rafinha tuntut aksi lebih baik Bayern
AEK ATHENS 0 BAYERN MUNICH 2

Arjen Robben mengakui Bayern Munich tidak mempamerkan aksi terbaik ketika membenam AEK Athens 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. 


Gol Javi Martinez dan Robert Lewandowski dalam separuh masa kedua memastikan Bayern mengumpul tujuh mata dalam Kumpulan E.

Bagaimanapun, anak buah Niko Kovac itu dipaksa bekerja keras untuk memecah kebuntuan sejak awal saingan yang menyaksikan Robben salah seorang pemain yang gagal memanfaatkan peluang. 

"Kami bermain dengan baik dalam babak pertama tetapi kami tidak memanfaatkan beberapa peluang yang kami ada dan hantaran terakhir sering gagal dijelmakan," katanya kepada Sky.

"Dalam babak kedua, kami mempunyai detik yang baik dan yang tidak, namun kami berasa tidak selesa dan akhirnya kami mengambil kesempatan yang ada."

Pertahanan kiri, Rafinha, yang membekalkan umpanan kepada penyerang, Lewandowski, pada minit ke-63 berkata: "Ia sukar, kami bermula dengan baik tetapi sukar untuk mengawal bola.

"Mujur, kami berjaya menjaringkan gol. Kami tahu kami perlu bermain lebih baik lagi tetapi kami menuju ke arah yang betul."

Bayern kembali daripada rehat antarabangsa dengan rentetan empat perlawanan tanpa kemenangan yang menyebabkan kedudukan Kovac di bawah pemerhatian.

Namun, kejayaan awal pagi tadi menyusuli kemenangan 3-1 ke atas Wolfsburg dalam Bundesliga sebelum Bayern bertandang ke Mainz untuk menghambat kedudukan teratas.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen