Arjen Robben tidak menolak kemungkinan untuk bersara daripada pentas bola sepak pada hujung musim ini ketika kontraknya bersama Bayern Munich kini memasuki tahun akhir.

Robben berhijrah ke Allianz Arena pada 2009 dan masih menjadi antara pemain pilihan utama pengendali pasukan, Jupp Heynckes, apabila melakukan 18 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini.

Bagaimanapun, dia masih belum menerima sebarang tawaran kontrak baru walaupun Heynckes memuji impak yang dibawa oleh bekas pemain sayap skuad kebangsaan Belanda itu dan mula memperkatakan tentang perjanjian baru buat pemain berusia 33 tahun itu.

“Masa depan saya masih samar,” ujar Robben kepada Kicker. “Ia boleh menjadi penamat buat saya selepas musim ini tetapi saya juga boleh mencuba sesuatu yang baru dan bermain tiga tahun lagi buat Bayern.

“Segala-galanya boleh berlaku. Saya cuba menikmati bola sepak dan bermain di peringkat tertinggi selagi mampu tetapi saya tidak pasti sampai bila saya boleh bertahan,” tambahnya.

Mengenai hubungannya dengan Heynckes, Robben mengakui dia memiliki persefahaman yang baik dan mengetahui apa yang boleh diberikan untuk kelab, begitu juga dengan Bayern.

Selepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018, Robben mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa pada Oktober lalu.