Richard tuntut siasatan, Hasnizam gesa Kim Swee undur diri

Oleh Staff Writer 28 November 2016 4
Richard tuntut siasatan, Hasnizam gesa Kim Swee undur diri
Penganalisis Teknikal, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Datuk Richard Scully, menuntut siasatan terperinci daripada jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad, selepas kegagalan skuad negara dalam saingan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2016.

Richard mahukan siasatan telus dilakukan oleh tujuh ahli panel yang terdiri daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Naib Presiden FAM, Datuk Rozabil Abdul Rahman; Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin; Timbalan Presiden FAM,  Datuk Seri Affandi Hamzah; Exco FAM, Datuk Mohd Junid Mohd Noor dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan.

Katanya, siasatan itu perlu bagi membincangkan prestasi semasa Harimau Malaysia dan status jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, demi kebangkitan skuad negara selepas ini.

"Saya mengharapkan satu 'post-mortem' dapat dibincangkan untuk menyelesaikan masalah ini.

"Saya rasa mereka yang bijak pandai seperti Datuk Mokhtar dapat melakukan sesuatu dengan exco beliau," katanya.

Bagaimanapun, lain pula pendapat yang dilontarkan bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir, yang secara jelas menuntut Kim Swee agar membuka ruang kepada individu lain untuk memimpin skuad negara.

"Kalau sebagai seorang 'gentleman', beliau perlulah meletak jawatan kerana gagal mencapai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) ketika dalam Sukan SEA Singapura dan kali ini dalam Piala Suzuki AFF 2016," katanya.

Malaysia tersingkir dalam Piala Suzuki AFF apabila mengalami dua kekalahan dan menang sekali dalam peringkat Kumpulan B.

Skuad negara tewas 0-1 masing-masing kepada Vietnam dan Myanmar selepas menang ke atas Kemboja 3-2 dalam perlawanan pertama.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen