Richard: Masalah tunggakan gaji tidak patut berlaku

Oleh Staff Writer 25 Disember 2018 320
Richard: Masalah tunggakan gaji tidak patut berlaku
Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully, menegaskan masalah tunggakan gaji pemain dan jurulatih tidak seharusnya berlaku di sebalik enam kes diadukan kepada badan itu untuk tindakan lanjut.

Masalah tunggakan gaji bukan sahaja dihadapi pemain, malah turut melibatkan jurulatih, yang berjumlah keseluruhan mencecah RM400,000.

Richard mengakui situasi itu sangat membimbangkan kerana jika tidak dibendung, ia boleh menjejaskan
masa depan pemain dan jurulatih.

"Saya rasa dalam masa terdekat ini setelah keputusan dibuat, akhbar-akhbar akan menyiarkan siapa yang telah dibayar dan sebagainya. Berapa ramai itu tidak pasti tetapi mungkin lima atau enam pemain yang berada dalam skop tuntutan itu," katanya.

Difahamkan, antara jurulatih yang berdepan dengan kemelut itu adalah Manja Man bersama Perlis, B.
Sathianathan (Felda United), Zainal Abidin Hassan (Pulau Pinang) dan Fauzi Pilus (PDRM FA).

Richard juga berkata dia kecewa dengan sikap persatuan atau kelab yang mengambil sikap sambil
lewa dalam menangani isu itu walaupun arahan sudah dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM).

"Kita dalam era profesional, jadi saya rasa ia tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi PJBM menghala ke F:30. Maka, saya percaya perkara seperti ini tidak boleh berlaku."

Sementara itu, Richard yang juga bertindak selaku pemerhati bola sepak negara turut memberi
perkongsian mengenai isu penajaan yang dialami Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Penaja utama, TM Unifi, dikatakan mahu menarik diri musim depan dan Richard tidak menafikan ia
berpotensi merencatkan kancah bola sepak tempatan jika perkara itu berlaku.

"Penaja harus memainkan peranan dalam mengenal pasti apa masalah dengan bola sepak Malaysia. Ia membuktikan Malaysia berada dalam kelompok pasukan Asia yang dihormati. 

"Inilah masanya untuk penaja tampil dan memberi sumbangan dalam merealisasikan penanda aras bola sepak, seperti apa yang diperjuangkan oleh F:30," tambahnya.

Lantas, Richard berharap MFL selaku badan pentadbir Liga Malaysia memiliki perancangan tersendiri
sekiranya Unifi menarik diri.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan Unifi bakal menarik diri daripada menjadi penaja utama Liga
Malaysia musim depan walaupun telah memeterai perjanjian selama 10 tahun dengan MFL bernilai RM60 juta setiap tahun merangkumi hak penyiaran televisyen dan internet.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen