Timbalan Presiden, Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully, mencadangkan beberapa jurulatih dihantar mengikuti saingan Piala Dunia di Russia
tahun depan untuk meningkatkan lagi pengetahuan mereka.


Penghantaran delegasi ke kejohanan bola sepak bertaraf dunia itu sudah lama diterapkan oleh beberapa negara, termasuk Malaysia.

Begitupun, Richard menyifatkan delegasi ini lebih ramai "penumpang" daripada individu yang sepatutnya dapat memanfaatkan kunjungan itu.

Lantas beliau berasakan peluang seharusnya diberikan kepada jurulatih tempatan untuk meluaskan lagi ilmu masing-masing.

"Kami memiliki perancangan untuk membawa 25 hingga 30 jurulatih ke Piala Dunia untuk menganalisis pelawanan di Russia nanti," katanya.

Sementara itu, Richard mengakui masih belum ada perancangan khusus bagi tahun 2018 selepas kontraknya bersama pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Bandar Penawar tidak dilanjutkan.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk terus membantu dalam membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi.