BAYERN MUNICH 5 BENFICA 1

Gol pertama Franck Ribery pada musim ini adalah ganjaran atas permainannya yang lebih bercirikan kerjasama sepasukan musim ini, demikian menurut Niko Kovac yang memuji penampilan pemain dari Perancis berkenaan dalam kemenangan 5-1 Bayern Munich ke atas Benfica.


Ribery menjaringkan gol kelima Bayern dalam aksi cemerlang di Allianz Arena, awal pagi tadi untuk mengesahkan kedudukan kelab Bavaria itu dalam pusingan 16 sementara harapan Benfica untuk maju daripada Kumpulan E Liga Juara-Juara (UCL) berakhir.

Pada malam ketika Arjen Robben dan Robert Lewandowski masing-masing menjaringkan dua gol, pengurus itu sebaliknya secara khususnya memuji sumbangan pemain sayap berusia 35 tahun itu.

"Dia akhirnya dapat memberi ganjaran kepada dirinya sendiri," kata Kovac kepada wartawan.

"Franck bekerja sangat keras di atas padang dan memacu rakan sepasukannya ke dalam permainan.

"Hari ini dia menjaringkan gol dan dia sememangnya berhak."

Gergasi Jerman itu turun dalam tekanan berikutan diikat Fortuna Dusseldorf 3-3 yang menjadi antara punca mereka menduduki tangga kelima Bundesliga, sembilan mata di belakang pendahulu liga, Borussia Dortmund.

Namun, Robben meledak dua gol dalam masa 30 minit dan tiada tanda-tanda goyah dipamerkan tuan rumah.

Kovac menyimpulkan prestasi itu dengan berkata: "Semuanya ada berjalan lancar.

"Kami bertahan dengan baik dan memanfaatkan peluang kami.

"Kami akhirnya berjaya mengekalkan tahap prestasi tinggi sepanjang 90 minit.

"Ia mungkin terdengar pelik, tetapi apabila kami bermain dalam UCL atau dalam permainan liga besar, anda dapat saksikan kemampuan pasukan saya.

"Bagaimanapun, ketika kami menghadapi kelab yang lebih kecil sedikit, kadang-kadang kami tidak bermain dengan sepenuh kekuatan.

"Kami perlu mempamerkan aksi terbaik selama 90 minit seperti yang kami lakukan hari ini."

Pengurus Benfica, Rui Vitoria, yang menyaksikan pasukannya akan beraksi dalam Liga Europa dengan perlawanan Kumpulan E terakhir mereka adalah menentang AEK Athens, mengakui bentengnya mudah dirobek Bayern.

"Aksi kami tidak bagus," katanya, "Kami tidak melaksanakan strategi kami dengan baik.

"Banyak yang berlaku kerana Bayern lebih unggul, mereka adalah salah sebuah pasukan terbesar di Eropah.

"Kami perlu menjadi lebih terancang dalam aspek pertahanan dan lebih pantas dalam serangan, tetapi kami tidak menguruskannya."