Harry Arter berasakan Republik Ireland berada dalam kedudukan terbaik dalam saingan kelayakan Piala Dunia selepas berjaya melakar kemenangan 1-0 ke atas Austria, awal pagi tadi.

Pemain tengah Bournemouth itu membuat penampilan pertama di Vienna tatkala skuad kendalian Martin O'Neill berjaya melakar kemenangan pertama ke atas Austria selepas 53 tahun hasil jaringan James McClean pada minit ke-48.

"Keputusan itu sangat menggembirakan. Kami sedar kemenangan mampu meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih baik," Arter memberitahu Sky Sports.

"Austria akan bergelut selepas kekalahan ini, kami berada dalam kedudukan terbaik.

"Kami terpaksa menempuh suasana yang agak negatif sebelum ini, namun tiga mata ini mengubah segalanya."

Ireland beraksi dengan hambar pada babak pertama, namun memasuki separuh masa kedua, anak buah Martin O'Neill beraksi dengan cukup mantap dan hampir melebarkan jurang yang lebih besar.

Arter mengakui kegagalan mempamer aksi baik dalam tempoh 45 minit pertama memberi motivasi untuk mereka memperbaiki permainan pada waktu rehat.

"Kami mempamerkan kualiti sebenar pada separuh masa kedua. Kata-kata daripada pengendali pada waktu rehat menjadi penyuntik semangat baharu."