DORTMUND 1 HERTHA BERLIN 1

Thomas Tuchel berasakan Borussia Dortmund tidak bernasib baik apabila hanya memungut satu mata ke atas Hertha Berlin meskipun mencipta deretan peluang pada 30 minit terakhir perlawanan.


Dortmund bergelut untuk mendapat rentak pada separuh masa pertama. Anak buah Tuchel hanya mula mempamerkan aksi lebih kemas selepas tersentak dengan jaringan pembukaan Valentin Stocker pada minit ke-51.

Pierre-Emerick Aubameyang mengikat kedudukan pada lewat permainan, namun ia terbukti sudah terlambat bagi Dortmund meraih kemenangan untuk terpaksa berpuas dengan keputusan seri 1-1.

Penyerang Gabon itu terlepas dua peluang menarik selepas sejam perlawanan berlangsung, Aubameyang turut dikecewakan penjaga gol lawan, Rune Jarstein, yang bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penaltinya.

Kedua-dua pasukan mengakhiri permainan dengan 10 pemain apabila bintang muda Dortmund, Emre Mor, terlebih dahulu diarahkan keluar padang sebelum Stocker turut mengalami nasib serupa akibat melakukan terjahan keras.

"Saya mendapati gol mereka telah membantu kami," kata Tuchel. "Hanya selepas itu kami mempunyai ruang untuk bermain.

"Kami meningkatkan kepantasan dan berjaya membuka ruang yang lebih baik. Keputusan seri adalah adil sungguhpun ia hadir pada penghujung permainan.

"Ketika ini, saya berasakan seperti kami lebih berhak untuk menang. Kami bermain dengan semangat juang tinggi, beremosi dan memberikan tekanan ke atas mereka."

Keputusan seri itu menyaksikan Dortmund mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mengharungi 25 perlawanan Bundesliga di Signal Iduna Park tanpa kalah.