Real Madrid dilaporkan berminat dengan khidmat Igor Gomes tetapi Sao Paulo memaklumkan tidak menerima sebarang tawaran rasmi ke atas pemain tengah itu.

Barcelona, ​​Sevilla dan Ajax dikaitkan menagih sentuhan Gomes sambil Pengarah Eksekutif Bola Sepak Sao Paulo, Rai, mengakui banyak kelab Eropah sedang memantau kemampuan pemain berusia 21 tahun itu.

Madrid ghairah memburu pemain berbakat dari Brazil dalam beberapa musim terakhir ini dengan memancing Vinicius Junior, Rodrygo Goes dan Reinier Jesus, malah ejen Gomes, Wagner Ribeiro, bulan lalu mengatakan berminat untuk membawa pemain muda itu ke Los Blancos.

Ketika ditanya apakah ia ada kaitan dengan Madrid, Rai memberitahu Globo Esporte: "Ia benar.

"Apa yang dapat saya katakan, Igor Gomes merupakan pemain yang menarik minat kelab-kelab Eropah.

"Namun, belum ada sebarang tawaran rasmi. Hakikatnya, dia telah menarik minat ramai.

"Saya sudah bercakap dengan rakan-rakan di Eropah yang telah menyatakan pandangan mereka, tetapi setakat itu saja."

Tambah Pengurus Besar, Alexandre Passaro: "Tiada tawaran rasmi daripada Real Madrid atau kelab lain. Apa yang kami tahu, Real Madrid mengikuti perkembangannya, begitu juga dengan bakat muda lain di seluruh dunia, termasuk pemain kami.

"Apatah lagi Igor berkemungkinan akan memperoleh pasport Portugal dalam tempoh enam bulan akan datang. Ini bererti dia tidak akan diikat sebagai pemain asing di kelab Eropah. Tetapi setakat ini belum ada apa-apa yang terjadi."


Nama Edinson Cavani juga menjadi sebutan sejurus kontraknya di Paris Saint-Germain (PSG) berakhir bulan depan selain dikaitkan ke Boca Juniors.

Pengarah Sao Paulo, Diego Lugano, mengatakan dia akan berusaha memujuk penyerang veteran itu agar bergabung dengan pasukan Brazil berkenaan jika dia memilih untuk kembali ke Amerika Selatan.

Rai tidak akan terkejut jika perbincangan seperti itu berlaku seperti mana ketika Corinthians mengikat Ronaldo pada 2008 meskipun menjelaskan belum mengemukakan tawaran.

"Lugano rapat dengannya kerana mereka pernah beraksi bersama dalam skuad berkebangsaan, mereka berkawan," kata Rai.

"Kedudukannya adalah seperti ini: jika ada kemungkinan, ia akan menjadi sangat sulit untuk memancing Cavani datang ke Amerika Selatan. Tetapi kemungkinan Cavani untuk berbincang dengan Lugano adalah sangat besar.

"Begitupun, buat masa ini Sao Paulo tidak memikirkannya dan tidak mampu."