Luka Modric menegaskan Real Madrid sentiasa percaya mereka boleh menjuarai gelaran selepas Cristiano Ronaldo berhijrah ke Juventus pada 2018.

Bintang Portugal itu meninggalkan Madrid untuk Turin sejurus memenangi Liga Juara-Juara (UCL) buat kali keempat bersama Los Blancos dan telah merasai kemanisan kejayaan dalam saingan Serie A pada musim pertamanya di Itali.



Real memenangi Piala Dunia Kelab 2018 tetapi mengharungi musim yang mengecewakan, dengan Barcelona memenangi LaLiga, Liverpool merangkul gelaran UCL dan Valencia menjulang Copa del Rey.

Bagaimanapun, dengan Zinedine Zidane kembali sebagai ketua jurulatih sejak Mac lalu, Los Blancos kembali sentuhan sang juara apabila memenangi LaLiga musim ini.

Modric menegaskan tidak wujud masalah dalam mengejar gelaran sejak Ronaldo berhijrah ke Juve.

"Tidak ada gunanya membincangkan betapa pentingnya Ronaldo bagi Real," katanya.

"Namun kami yakin mampu meneruskan rentak untuk memenangi gelaran tanpa kehadirannya kerana, tanpa mengira kekuatan individu, pasukan sentiasa menjadi perkara paling utama."

Eden Hazard menyertai Real dari Chelsea tahun lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo dalam jentera serangan Los Blancos.

Bagaimanapun, musim pertama pemain skuad kebangsaan Belgium itu di Sepanyol telah dihimpit dengan masalah kecederaan apabila sekadar membuat 14 penampilan dalam kesebelasan utama.

Modric menasihatkan Hazard supaya bersabar dalam mencari sentuhan terbaiknya, sama seperti apa yang dilakukan selepas berhijrah dari Tottenham pada 2012.

"Saya gemar menyaksikan Hazard beraksi di Chelsea. Sejak dia berhijrah, dia kurang bernasib baik. Anda dapat melihat keazamannya untuk beraksi dan membuktikan kemampuannya

"Perkara paling penting adalah bersabar, kerana ia telah membantu saya ketika berhijrah ke Madrid."