Real Madrid bermati-matian untuk Lopetegui

Oleh Penulis Jemputan 10 Oktober 2018 263
Real Madrid bermati-matian untuk Lopetegui
Barisan pemain Real Madrid tetap bermati-matian berada di belakang pengurus yang sedang dilanda tekanan, Julen Lopetegui, kata Nacho Fernandez.

Madrid melalui tempoh kutipan jaringan terburuk sejak 1985 selepas gagal menghasilkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut bagi semua kejohanan.

Lopetegui menyaksikan pasukan bimbingannya itu tewas 1-0 di tangan Deportivo Alaves sebelum bermula aksi antarabangsa setelah dikejutkan dengan kekalahan 1-0 ketika berdepan CSKA Moscow bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Tiga kekalahan dalam empat aksi terakhir memberikan tekanan buat bekas pengendali Sepanyol berkenaan sambil wujud laporan bahawa skuad Los Blancos itu sudah mula memikirkan masa depan Lopetegui menjelang aksi El Clasico berdepan Barcelona, 28 Oktober ini.

Kapten pasukan, Sergio Ramos, berpendapat tindakan memecat Lopetegui terlalu awal adalah sesuatu yang gila selepas pengurus itu menggantikan Zinedine Zidane yang menjulang tiga trofi Liga Juara-Juara berturut-turut.

Fernandez, yang turut bersama Ramos beraksi di bawah kendalian Lopetegui dalam skuad Sepanyol, di mana mereka melalui rekod tanpa kalah, turut mempertahankan pengurus berusia 52 tahun itu.

"Kami sebagai pemain akan mempertahankannya bermati-matian," kata Fernandez.

"Kami tenang. Kami telah melalui situasi sama, malah lebih teruk, dan kami sentiasa dapat menanganinya.

"Saya tidak menjamin kami akan menjuarai semua trofi tetapi Real Madrid selalu membuktikan bahawa dengan pengurus dan pemain yang kami ada, semua sentiasa berjuang untuk segalanya.

"Kami akan meneruskannya sehingga ke akhir."

Lopetegui menjelaskan faktor masalah kecederaan menjadi penghalang kepada prestasi pasukannya tatkala Isco dan Gareth Bale merupakan antara tonggak utama yang terpaksa diketepikan.

Bagaimanapun, Los Blancos juga dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri tanpa Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Juventus selepas hanya mendapatkan Mariano Diaz dari Lyon untuk menggantikan bintang Portugal itu.

"Kami menjaringkan banyak gol di permulaan musim dan tiada siapa yang mengingatinya," tambah Fernandez mengenai ketiadaan Ronaldo.

"Dia mula beraksi untuk Juventus dan tidak menjaringkan gol, mereka mendakwa ia disebabkan Ronaldo meninggalkan Madrid.

"Ronaldo sangat penting buat kami kerana di menyumbat 50 gol semusim tetapi kami tidak boleh dipersalahkan. Kami juga tidak boleh menoleh ke belakang dan hidup dalam masa lalu," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen