SPORTING CP 1 REAL MADRID 2

Karim Benzema masuk sebagai pemain gantian untuk membantu Real Madrid menang 2-1 ke atas Sporting CP di Stadium Jose Alvalade dan terus menghidupkan harapan mereka untuk berada di tangga teratas Kumpulan F, Liga Juara-Juara Eropah.

Jurulatih Real, Zinedine Zidane, bagaimanapun, tidak pasti sama ada Gareth Bale akan cergas untuk aksi 'El Clasico' 11 hari lagi selepas penyerang itu mengalami kecederaan buku lali kanan semasa perlawanan awal pagi tadi.

Bale mengalami kecederaan itu selepas diasak bek tengah Sporting, Sebastian Coates, pada awal separuh masa kedua dan walaupun cuba untuk bermain selepas menerima rawatan, dia terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-58.

Pendahulu LaLiga, Real Madrid, akan menerima kunjungan Sporting Gijon hujung minggu ini dan mereka berharap dapat mengekalkan kelebihan empat mata sebelum bertandang ke Camp Nou untuk menghadapi pesaing terdekat yang juga musuh tradisi, Barcelona, pada 3 Disember.

"Bale mempunyai masalah buku lali tetapi dia memerlukan pemeriksaan menyeluruh esok untuk melihat sejauh mana kecederaan itu," kata Zidane selepas perlawanan, di mana tandukan Karim Benzema tiga minit sebelum tamat menjamin laluan mereka ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

"Ia terlalu awal untuk mengatakan berapa lama dia akan diketepikan atau mengukur masalah ini. Kami akan lihat, jadi kami tidak tahu sama ada dia akan cergas untuk El Clasico."

Dalam perlawanan menentang Sporting, Raphael Varane meletakkan Real Madrid di depan pada minit ke-29 hasil rembatan deras dari jarak dekat selepas dia melepasi perangkap ofsaid ketika kekalutan di depan gawang.

Sporting terpaksa menunggu sehingga minit ke-80 untuk menyamakan kedudukan selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kerana bola terkena tangan pertahanan Real, Fabio Coentrao.

Joel Campbell menyudahkan sepakan itu sebelum Benzema melakukan tandukan baik tujuh minit kemudian untuk menyambut hantaran jauh rakan bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Saksikan sorotan perlawanan Sporting lawan Real Madrid di sini: