Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, tidak berada dalam senarai pemain pasukannya menjelang kunjungan ke laman Sevilla malam ini.

Pemain pertahanan itu mengalami kecederaan paha ketika tugasan antarabangsa bersama Sepanyol bulan lalu.

Ketua jurulatih Madrid, Zinedine Zidane, memaklumkan dalam sidang media bahawa pemain berusia 34 tahun itu tidak akan menyertai kunjungan berkenaan kerana belum cukup cergas.

"Kami tidak akan mengambil sebarang risiko bersama Sergio Ramos," kata Zidane.

"Saya tidak mahu menurunkan pemain yang mengalami masalah dan menjadikannya lebih teruk. Kami mahukan semua pemain kami kembali cergas."

Tanpa Ramos, Madrid terikat 1-1 dengan Villarreal dan tewas 1-2 kepada Deportivo Alaves dalam saingan LaLiga.

Dalam Liga Juara-Juara Eropah, skuad kendalian Zidane itu menewaskan Inter Milan 2-0 tetapi tewas dengan keputusan sama kepada Shakhtar Donetsk, sekali gus perlu bergantung kepada perlawanan terakhir untuk layak ke pusingan kalah mati.

Penyerang Serbia, Luka Jovic, turut tidak berada dalam senarai pemain Zidane selepas didapati positif COVID-19 ketika bersama pasukan kebangsaannya dan perlu menjalani pengasingan kendiri.

Madrid kini berada di tangga keempat LaLiga dengan 17 mata -- tujuh mata di belakang pendahulu, Real Sociedad, dan enam mata di belakang pasukan di tangga kedua, Atletico Madrid -- yang akan dihadapi mereka dalam perlawanan 'derby' hujung minggu depan.