Ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos, memohon maaf setelah kamera merakamkan dua insiden membabitkannya menendang bola ke arah pemain muda.

Pemain pertahanan Sepanyol itu terlibat dalam insiden tersebut dalam sesi latihan terbuka selama 15 minit kepada media sempena pertembungan dengan Viktoria Plzen bagi aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi nanti.

Ramos dua kali diperdaya Sergio Reguilon sehingga mendorongnya bersikap biadab terhadap pemain berusia 21 tahun itu.

Berita mengenainya pantas tersebar sehingga menyemarakkan lagi kemarahan terhadap kem Madrid tatkala Julen Lopetegui dilaporkan di ambang pemecatan ekoran lima perlawanan diharungi tanpa kemenangan.

Ramos kemudiannya menggunakan Twitter untuk meminta maaf atas tindakannya itu sambil menyatakan: "Walaupun ia tidak kelihatan seperti itu, ia biasa berlaku tetapi itu bukanlah alasannya, saya tidak seharusnya bertindak demikian.

"Kami sentiasa memberikan komitmen tinggi, bukankah begitu, Regui? Pada akhirnya, kami meraikan kemenangan bersama-sama."

Sebagai tindak balas, Reguilon turut bersemangat untuk menjernihkan keadaan.

Pertahanan kiri itu menulis di Twitter: "Saya selalu menyokong pasukan dan kapten saya. Ayuh kita capai kemenangan esok!"