REAL MADRID 0 REAL BETIS 0

Sergio Ramos mengakui Real Madrid mensia-siakan peluang untuk menerajui LaLiga selepas terikat tanpa jaringan dengan Real Betis di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.


Madrid akan melonjak ke tangga teratas dengan kelebihan dua mata di depan Barcelona jika memenangi perlawanan itu, namun mereka gagal menghasilkan sebarang jaringan dan mensia-siakan peluang berkenaan.

Penjaga gol Betis, Joel Robles, melakukan beberapa aksi menyelamat gemilang pada lewat permainan selepas menggagalkan percubaan Ramos pada penghujung babak pertama.

Ferland Mendy turut mensia-siakan peluang untuk Madrid menerima keputusan 0-0 pertama sejak di bawah kendalian Zinedine Zidane.

Selaku kapten, Ramos menegaskan pasukannya sudah berusaha sebaik mungkin, namun menolak andaian bahawa ketiga-tiga pasukan gergasi LaLiga, iaitu Madrid, Barca dan Atletico Madrid, sudah mula goyah kerana gagal meraih kemenangan awal pagi tadi.

"Tiada apa-apa yang berlaku, ia hanya bola sepak dan ia tidak mudah," katanya kepada Movistar.

"Hari ini, Levante menewaskan Barcelona, anda tidak boleh menjangkakan untuk memenangi setiap perlawanan dengan setiap lawan.

"Liga kami merupakan yang terbaik di dunia, kami amat bertuah untuk menyertainya dan kami akan mencuba untuk melakukan yang terbaik.

"Hari ini merupakan peluang terbaik kami untuk mendahului liga berdasarkan keputusan perlawanan lain.

"Kami berusaha untuk mendapatkannya sejak dari minit pertama tetapi gagal menjaringkan gol.

"Sikap pemain dan cara kami bertahan amat bagus.

"Anda perlu memberikan pujian kepada Betis juga, mereka pasukan yang gemar memegang bola dan beraksi baik, ia tidak mudah buat kami.

"Ia perasaan bercampur-baur untuk hanya meraih satu mata.

"Kami terlepas peluang untuk melonjak ke tangga pertama dan mendahului liga," katanya.

Pemain terbaik Betis, Robles, percaya keputusan seri itu -- selepas menewaskan Celta Vigo -- akan meningkatkan keyakinan kelab Andalusia itu selepas tewas empat daripada lima perlawanan terakhir.

"Kami gembira dengan apa yang dilakukan pasukan ini, ia memberikan kami keyakinan.

"Ia keputusan yang baik untuk diperoleh daripada stadium yang sukar ini.

"Kami gembira dengan mata yang diraih, kami memerlukan satu mata di sini.

"Kami perlu lebih yakin, kami masih belum berada di tahap terbaik tetapi kami akan terus berusaha.

"Kami tidak memperoleh keputusan yang baik sebelum ini tetapi kami menewaskan Celta dan keputusan ini memberikan kami keyakinan.

"Kami perlu menikmati mata ini dan berehat sebelum menghadapi perlawanan 'derby' minggu depan," katanya.