Ramos boleh beraksi sehingga 40 tahun

Oleh Ammar Hakim 4 Ogos 2020 181
Ramos boleh beraksi sehingga 40 tahun
Sergio Ramos merupakan pertahanan terbaik dunia dan mampu untuk terus beraksi sehingga berusia 40 tahun, menurut bekas rakan sepasukan Real Madrid, Rafael van der Vaart. 

Ramos merupakan watak berpengaruh dalam membantu Real menamatkan dominasi Barcelona dalam saingan LaLiga, meledak 11 gol sekaligus membantu skuad kendalian Zinedine Zidane itu diangkat sebagai juara buat pertama kali sejak 2017.

Pemain kelahiran Sepanyol itu ditandatangani daripada Sevilla pada 2005 dan bergandingan bersama Van der Vaart, yang beraksi di Santiago Bernabeu selama dua musim sebelum berhijrah ke Tottenham pada 2010. 

Bagaimanapun, menyaksikan bekas kelabnya sekali lagi bergelar juara liga, bekas pemain skuad kebangsaan Belanda itu kagum dengan kematangan Ramos ditambah dengan kondisi fizikalnya, menyaksikan tiada alasan mengapa pemain berusia 34 tahun itu perlu memikirkan tentang persaraan dalam masa terdekat.

"Bagi saya, dia adalah pertahanan terbaik dunia," kata Van der Vaart.

"Ketika saya bersama Real Madrid, dia baru sahaja berusia 21 atau 22 dan memiliki semangat yang tinggi. Dia mahu berada di mana-mana sahaja. Sepakan percuma, sepakan sudut, di semua tempat. 

"Sekarang lebih berbeza, dia kini lebih fokus. Fokus untuk menang dan menggunakan bakatnya dengan sebaik mungkin. Dia menyedarikan kemahiran yang dimiliki, kekuatan fizikal dan kondisi yang membantu dirinya dan pasukan untuk meraih banyak gelaran. Sukar untuk mempercayainya, dia seperti mesin.

"Apabila saya menyaksikan perlawanan sebelum ini, saya berpandangan, 'berapa usianya? 34?' Saya percaya dia boleh bermain enam tahun lagi."

Selepas menjuara LaLiga, Real kini boleh memberikan tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Mereka perlu bangkit daripada ketinggalan 2-1 dalam aksi kedua pusingan 16 berdepan Manchester City jika mahu melangkah ke suku akhir.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen