Pemain tengah Bayern Munich, Rafinha, menyatakan permohonan maaf selepas kontroversi kostum Halloween yang mengakibatkan kemarahan awam dalam media sosial.

Menerusi sekeping gambar yang dimuat naik rakan sepasukan, Jerome Boateng, sewaktu pesta Halloween pasukan berkenaan, Rafinha dilihat memakai kostum tradisional Arab dengan memegang sebuah kadbod bertulisan "vorsicht" yang membawa maksud "awas" dalam bahasa Jerman.

Kritikan hebat yang dilemparkan masyarakat memaksa Boateng memadam gambar berkenaan dan Rafinha menyatakan permohonan maafnya tidak lama selepas itu.

"Halloween merupakan satu perayaan menakutkan dengan kostum yang keterlaluan.

"Saya tiada niat untuk menyakitkan hati sesiapa melalui pakaian saya," kata Rafinha dalam laman Twitter miliknya.

Rafinha, bagaimanapun, terpaksa mengeluarkan kenyataan maaf kedua disebabkan dia masih menyertakan gambarnya bersama kostum berkenaan pada kenyataan pertama yang terus mengundang kemarahan masyarakat.