Pemain tengah Barcelona, Rafinha, dipanggil menyertai skuad kebangsaan Brazil bagi menggantikan Casemiro yang cedera.

Pemain berusia 25 tahun itu melengkapkan pasukan kendalian Tite selepas perbincangan antara barisan kejurulatihan negara itu.

Rafinha, yang melakukan tujuh penampilan bersama Barca musim ini, tidak pernah mewakili negaranya sejak kemenangan 4-1 ke atas Amerika Syarikat pada September 2015.

Dia menyertai sesi latihan pasukan di London malam tadi menjelang pertemuan dengan Uruguay dalam aksi persahabatan di Stadium Emirates, Jumaat ini.

Skuad kendalian Tite itu juga akan berdepan Cameroon di Milton Keynes, Selasa depan.

Casamiro terpaksa dipinggirkan skuad kebangsaan Brazil ekoran kecederaan buku lali yang dialaminya ketika membantu Real Madrid menewaskan Celta Vigo 4-2 dalam saingan LaLiga, hujung minggu lalu.

Dia dijangka berehat sekurang-kurangnya tiga minggu.