Adrien Rabiot tampak bakal meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) selepas memberitahu kelab itu dia tidak akan menandatangani kontrak baru.

Pengarah Sukan PSG, Antero Henrique, berkata Rabiot, 23, membuatkan pihak kelab keliru mengenai keinginannya untuk menandatangani kontrak baru dan akhirnya membuatkannya terus berada di bangku simpanan.

Henrique tidak pasti sama ada pemain yang dikaitkan untuk ke Barcelona itu akan dijual Januari ini atau tidak tetapi kini kelab Ligue 1 itu hanya berharap dapat meraih yuran perpindahan sebelum kontraknya tamat Jun nanti.

Liverpool, Tottenham Hotspur dan Juventus merupakan antara pasukan yang sedang mempertimbangkan untuk membawanya masuk ketika jendela perpindahan akan datang.

Ditanya sama ada PSG akan cuba melakukan perbincangan semula, Henrique memberitahu Yahoo Sport France: "Ketika ini, tidak. Ia adalah keputusan kelab berdasarkan perjumpaan dengan pemain.

"Rabiot memberitahu saya bahawa dia tidak akan menandatangni kontrak baru dan mahu meninggalkan kelab secara percuma di penghujung musim, menamatkan kontrak sedia ada.

"Bagi saya, ia akan memberikan kesan di mana dia akan terus berada di bangku simpanan dalam tempoh lama."

Sementara itu, pengendali PSG, Thomas Tuchel, awal tahun ini telah mencabar Rabiot -- yang menolak peluang untuk berada dalam senarai menunggu skuad Piala Dunia Perancis -- agar menyelesaikan situasi tentang masa depannya setelah sering dikaitkan dengan penghijrahan ke Camp Nou.

Henrique mendakwa perbincangan dengan ejen Rabiot telah hampir selesai dan kini mengecam mereka kerana tidak menunjukkan rasa hormat kepada kelab.

"Situasi itu tampak memperlihatkan pemain dan ejen itu mempermainkan kami," tambah Henrique.