Penganjur Piala Dunia 2022 memberi jaminan isu keselamatan menjadi agenda utama buat mereka sambil menolak kebimbangan pergolakan politik yang melanda beberapa negara Arab lain mampu memberi kesan kepada Qatar.

"Qatar antara negara paling selamat di dunia," itu pesanan Penolong Setiausaha, Jawatankuasa Tertinggi Piala Dunia 2022, Nasser Al-Khater, kepada seluruh peminat bola sepak yang bercadang ke sana.

Biarpun Semenanjung Arab belum aman sepenuhnya, realiti di Qatar jauh berbeza dan situasi sama dijangka terus bertahan sehingga Piala Dunia bakal dianjurkan.

"Dalam setiap kejohanan utama, isu keselamatan menjadi perkara utama. Qatar adalah antara negara paling selamat di dunia. Qatar memiliki kadar jenayah yang rendah dan kami akan memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku ketika saingan Piala Dunia bermula," katanya.

Selain itu, Nasser mengakui selaku negara Islam dan Arab pertama menganjurkan Piala Dunia, mereka menyedari harapan tinggi yang diletakkan kepada Qatar.

Justeru, mereka tidak mahu mengecewakan seluruh dunia Islam tetapi dalam masa sama cuba memastikan Piala Dunia 2022 kekal dalam acuan serta nilai budaya mereka.

"Ini merupakan kali pertama Piala Dunia dianjurkan di negara Islam dan Timur Tengah. Kami akan berusaha untuk memastikan penganjuran yang terbaik," tambahnya.