BORDEAUX 0 PSG 1

Neymar menunjukkan kemajuan dalam proses pemulihannya, menurut pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino.


Bintang Brazil itu tidak beraksi sejak ditimpa kecederaan ketika PSG meraih kemenangan dalam Coupe de France di Caen, 10 Februari lalu.

Dia meniti landasan yang tepat untuk tampil dalam pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) bertemu bekas kelabnya, Barcelona, minggu depan yang menyaksikan PSG memiliki bekalan 4-1.

Di sebalik ketiadaan dua lagi watak utama di bahagian serangan, Kylian Mbappe dan Moise Kean -- yang dijangkiti COVID-19 -- Pablo Sarabia menjadi wira juara bertahan itu menerusi menjaringkan gol tunggal perlawanan ke atas Bordeaux di gelanggang lawan, awal pagi tadi, sejurus kemenangan berkenaan Pochettino pantas menawarkan perkembangan lanjut mengenai status kecederaan Neymar.

Dia memberitahu sidang media: "Esok, kami akan menilai pemain selain akan menyambut beberapa pemain yang baru pulih, ia akan menjadi perkara baik untuk perlawanan hujung minggi ini (menentang Brest dalam saingan Coupe de France).

"Pemulihan Neymar berjalan dengan baik. Dalam beberapa hari akan datang, kami akan menilainya bagi memastikan apakah dia boleh diturunkan."





PSG kekal dua mata di belakang Lille yang menguasai puncak Ligue 1, Les Dogues menjaringkan dua gol pada masa kecederaan untuk menundukkan Marseille 2-0.

"Saya rasa kami memulakan permainan dengan baik. Kami memaparkan prestasi yang menarik dalam separuh masa pertama," tambahnya.

"Dalam babak berikutnya, Bordeaux meningkatkan rentak permainan jadi kami sedikit menderita, tetapi kemudian kami mengawalnya. Kami bertahan dengan baik dan saya sangat gembira dengan prestasi pasukan.

"Kami sedar bahawa kami masih mempunyai 10 perlawanan lagi dan jika kami memenanginya, kami tahu bahawa kami masih mampu ditabalkan sebagai juara.

"Berdasarkan pengalaman saya, saya tahu bahawa kami cuma perlu bersabar."