DIJON 1 PSG 2

Paris Saint-Germain (PSG) mengekalkan rekod cemerlang tanpa sebarang kekalahan dalam saingan Ligue 1 musim ini selepas menundukkan Dijon 2-1 di tempat lawan, awal pagi tadi.

Aksi cemerlang daripada pertahanan Belgium, Thomas Meunier, yang menjaringkan dua gol berjaya membenam kebangkitan tuan rumah pada penghujung babak kedua.

Turun tanpa penyerang utama, Edinson Cavani, PSG berdepan kesukaran untuk menembusi tembok pertahanan Dijon yang dikepalai oleh Cedric Varrault dan Papy Djiloboji.

Skuad kendalian Unai Emery itu, yang mempertaruhkan gandingan Neymar, Kylian Mbappe dan Angel Di Maria, terpaksa menunggu sehingga minit ke-70 untuk memecah kebuntuan apabila Meuneir memanfaatkan bola muntah hasil percubaan Mbappe untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Baptiste Reynet.

Bagaimanapun, hasrat pelawat untuk membawa pulang mata penuh dikejutkan dengan jaringan penyamaan ketika masa sebenar perlawanan berbaki tiga minit selepas Benjamin Jeannot melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti menewaskan Alphonse Areola.

Memasuki waktu kecederaan selama lima minit, PSG tetap melancarkan asakan dan akhirnya membuahkan hasil apabila Mbappe sekali lagi mengucar-kacirkan pertahanan Dijon sebelum hantaran leretnya mudah disempurnakan Meunier untuk mencatat jaringan kedua peribadi dan pasukan, menjadikan kedudukan 2-1.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil, Jerome Miguelgorry, membolehkan PSG mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini dan semakin selesa di puncak liga dengan 25 mata, enam mata mengatasi pasukan di tangga kedua, AS Monaco.