PSG 9 LA HAVRE 0

Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, menjangkakan satu pertembungan sengit Liga Juara-Juara (UCL) dengan Atalanta, tetapi tumpuannya buat masa ini terarah kepada perkara lain.


Kira-kira 5,000 peminat hadir ketika PSG mengalahkan Le Havre 9-0 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.

PSG diundi bertemu Atalanta di peringkat suku akhir UCL, namun sebelum itu bakal menentukan kejuaraan Coupe de France menentang Saint-Etienne manakala Coupe de la Ligue dengan Lyon.

Tuchel sedar jaguh Ligue 1 itu bakal berdepan ujian getir berdepan wakil Itali berkenaan di Lisbon bulan depan, tetapi dia mahu fokus kepada cabaran domestik terlebih dahulu.

"Ia akan menjadi laluan yang sukar tetapi ia tidaklah mengejutkan kerana kami akan beraksi dalam suku akhir. Terdapat lapan pasukan yang ingin memenangi kejohanan ini. Setiap pasukan mampu memenangi ketika-tiga perlawanan membabitkan mereka," kata pengurus PSG itu.





"Ia akan menjadi pertemuan yang sangat sukar (menghadapi Atalanta), ia akan menjadi sangat sukar. Mereka mempunyai kualiti tinggi. Kami telah menonton persembahan lawan ketika mereka menghadapi Juventus Sabtu lalu. Mereka merupakan sebuah pasukan yang seimbang dan gemar menyerang. Mereka memiliki kekuatan fizikal. Tetapi buat masa ini, kami tidak boleh memikirkannya.

"Cabaran sebenar adalah ketika kami tiba di Lisbon dengan dua gelaran. Pada masa ini, kami akan membuat persiapan menghadapi Saint-Etienne. Ini satu-satunya perlawanan yang berlegar di kepala saya sekarang.

"Kemudian, kami akan memikirkan pasal Lyon. Kemudian, saya rasa kami akan mempunyai tempoh selama 12 hari untuk membuat persediaan menentang Atalanta. Kami harus memberi fokus kepada pendekatan secara berperingkat. Langkah pertama adalah perlawanan membabitkan kami dengan Saint-Etienne. "





PSG kehilangan Edinson Cavani (ejen bebas), Thomas Meunier (Borussia Dortmund) dan Tanguy Kouassi (Bayern Munich) bagi baki kempen UCL memandangkan kontrak trio itu sudah pun berakhir.

Tuchel menganggap situasi itu menjadikan hidup PSG lebih sukar sambil menggesa barisan pemainnya agar terus mempamerkan peningkatan.

"Saya sedih kerana kami kehilangan tiga pemain utama untuk kejohanan ini - Tanguy, Edi dan Thomas Meunier," katanya.

"Ia menambah kesukaran kami. PSG memerlukan kualiti dan skuad yang hebat. Tetapi semua pemain melakukannya yang baik (ketika menundukkan Le Havre) dan kami perlu terus meningkat.

"Kami semua mempunyai hubungan yang baik. Kami bersiap sedia untuk mara. Hari ini adalah permulaan yang baik."

Neymar, Mauro Icardi dan Pablo Sarabia membuka tirai gol perlawanan sementara Kylian Mbappe, Idrissa Gueye dan Arnaud Muinga turut mencetak nama selaku penjaring ketika mudah mengetepikan cabaran kelab tertua Perancis itu.