PORTUGAL 2 SWITZERLAND 0

Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, berterima kasih kepada anak buahnya selepas menganugerahkannya tiket Piala Dunia 2018 selepas mengatasi Switzerland 2-0, awal pagi tadi.


Juara Eropah itu menuju perlawanan terakhir pusingan kelayakan di Lisbon dengan tiga mata di belakang pendahulu, Switzerland, yang menumpaskan mereka pada September tahun lalu di Basle untuk memimpin Kumpulan B.

Sejak itu, kedua-dua pasukan mencatat kemenangan, sekaligus membawa kepada pertemuan getir ini yang menyaksikan gol sendiri Johan Djourou dan jaringan Andre Silva pada minit ke-57 memastikan Portugal mara ke pusingan akhir di Russia dengan perbezaan jaringan.

"Saya sentiasa fikir ia mampu dilakukan," kata Santos.

"Saya mempunyai keyakinan terhadap pemain dan mereka telah menghadiahkannya kepada saya.

"Apabila anda mempunyai kualiti dan barisan tersusun, anda sentiasa menghampiri kemenangan. Pasukan ini bangkit untuk beraksi cukup baik dengan kawalan bola yang bagus.

"Bukan semuanya sempurna sepanjang 90 minit, namun mujur kami menang dan akan ke Russia."

Portugal mara ke separuh akhir Euro 2016 tanpa sebarang kemenangan dalam tempoh 90 minit, lalu Santos menghamburkan pujian terhadap semangat berpasukan Portugal untuk mereka sekali lagi melepasi ranjau.

"Wujud simbiosis sempurna di antara jurulatih dan pemain," katanya lagi.

"Saya sentiasa percayakan pemain saya. Bukan mudah memiliki 25 pemain dengan pemikiran seperti ini dan mencipta suasana yang mengagumkan.

"Saya percaya dengan tugsan yang kami lakukan, dengan apa yang dilakukan pasukan teknikal dan persatuan ini. Kerjasama itulah yang memberikan keputusan seperti ini," tambahnya.