Inter dijangka akan kehilangan khidmat Matteo Politano selama sebulan selepas kelab Serie A itu mengesahkan pemain sayap berkenaan terseliuh buku lali.

Politano mengalami kecederaan itu selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Inter tewas 2-3 kepada Barussia Dortmund dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi kelmarin.

Inter mengesahkan situasi itu dengan laporan pemeriksaan mendapati pemain itu tidak dapat beraksi hingga bulan depan.

"Keputusan pemeriksaan mendapati dia terseliuh di buku lali kirinya. Sendi itu akan digerak-gerakkan dalam dalam rawatan peringkat pertama dan keadaan Politano akan dipantau dan dinilai dalam beberapa minggu ini," kata Inter dalam satu kenyataan.

Politano melalui kempen pertama yang amat memberangsangkan bersama Inter musim lalu, namun dia hanya diturunkan dua kali dalam Serie A sejak Antonio Conte mengambil alih pasukan.

Dia berkemungkinan besar akan terlepas aksi Inter menentang Hellas Verona, Torino dan SPAL dalam Serie A selain perlawanan skuad Nerazzurri itu dengan Slavia Prague dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Dia juga tidak dapat memperkuatkan skuad kebangsaan Itali dalam perlawanan pusingan kelayakan Euro 2020 walaupun tidak pernah disenaraikan oleh ketua jurulatih, Roberto Mancini, sejak Mac lalu.