Polis Las Vegas telah membuka semula siasatan terhadap satu dakwaan serangan seksual susulan tuduhan yang dibuat seorang wanita terhadap Cristiano Ronaldo.

Kathryn Mayorga dilaporkan mendakwa Ronaldo merogolnya di sebuah hotel di bandaraya itu pada 2009.

Sebuah majalah bola sepak Jerman, Der Spiegel, melaporkan dakwaan itu Jumaat lalu, yang mendorong Ronaldo untuk mengetepikan laporan itu sebagai “berita palsu” dalam sebuah video Instagram.

Polis Metropolitan Las Vegas telah mengeluarkan satu kenyataan sebagai mengesahkan satu kes serangan seksual pada 2009 telah dibuka semula walaupun mereka tidak menamakan mangsa atau sebarang suspek.

“Polis Metropolitan Las Vegas sedang mengambil tindakan ke atas satu aduan serangan seksual pada 13 Jun 2009,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Omnisport.

“Pada waktu laporan itu diambil, mangsa tidak memaklumkan kepada detektif lokasi insiden berkenaan atau keterangan mengenai suspek. Satu ujian perubatan telah dilakukan.

"Sejak September 2018, kes ini telah dibuka semula dan detektif kami sedang mengambil langkah susulan terhadap maklumat yang diberikan mangsa.

“Siasatan sedang berjalan dan tiada sebarang maklumat lanjut akan didedahkan pada waktu ini.”

Pasukan guaman Ronaldo menyifatkan laporan Der Spiegel itu sebagai “terang-terang sesuatu yang terlarang” dan mengesahkan akan mengambil tindakan terhadap penerbitan itu.

Menurut laporan Der Spiegel, Mayorga mula-mula membuat pengaduan terhadap serangan seksual pada 2009 dan kemudian mencapai persetujuan di luar mahkamah dengan Ronaldo.

Majalah itu mendakwa Mayorga dibayar $375,000 (RM1.55 juta) sebagai sebahagian perjanjian privasi yang menghalangnya daripada mendedahkan dakwaan itu kepada umum.

Ronaldo menyertai Juventus daripada Real Madrid, Julai lalu, dengan perjanjian bernilai €112 juta (RM537 juta) selepas menghabiskan sembilan tahun dengan kelab gergasi Sepanyol itu.