Pogba tidak boleh puas hati situasi di United, kata Deschamps

Oleh Muzaffar Musa 10 November 2020 314
Pogba tidak boleh puas hati situasi di United, kata Deschamps
Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menyarankan agar Paul Pogba tidak berpuas hati dengan situasinya di Manchester United selepas bergelut untuk mendapatkan prestasi terbaiknya.

Pogba melakukan 11 penampilan dalam kesemua kejohanan buat United musim ini tetapi hanya lima daripadanya selaku kesebelasan utama dan tiga daripadanya pula merupakan kekalahan, termasuk ketika diabkan dengan kekalahan 1-6 kepada Tottenham.

Dia juga hanya terlibat dengan tiga jaringan (satu gol dan dua bantuan) sepanjang tempoh itu dan kritikan berkenaan prestasinya kini lebih banyak berbanding penglibatannya dalam menghasilkan gol.

Pengaruh Pogba di bahagian serangan United, yang boleh dianggap bahagian paling berbisanya, sudah semakin berkurangan di mana pemain kebangsaan Perancis itu hanya mencipta dua peluang dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Sebagai perbandingan, Bruno Fernandes mempunyai rekod 10 kali lebih baik dan hanya kekurangan satu berbanding rekod terbanyak oleh Mohamed Salah dengan 21 penglibatan jaringan.

Deschamps menegaskan Pogba tidak boleh bergembira dengan hidupnya di United tetapi yakin dia boleh membantu pemain itu.

"Saya tiada nasihat," kata Deschamps menjelang perlawanan persahabatan menentang Finland awal pagi Khamis ini.

"Saya amat mengenalinya dan dia juga amat mengenali pasukan ini.

"Dia berada dalam situasi di kelabnya di mana dia tidak boleh bergembira dan berpuas hati dengan waktu permainan dan posisinya.

"Dia mempunyai kebimbangan seperti COVID-19 yang menjejaskannya dengan amat teruk. Dia perlu mencari sedikit rentak.

"Dia sudah lama bermain tetapi kami boleh membantunya untuk melengkapkan apa yang telah dia lakukan," katanya.

Perancis akan berdepan Portugal dan Sweden dalam Liga Negara-Negara Eropah selepas perlawanan menenentang Finland.
 
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen