Pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, mempertahankan kelibat Kylian Mbappe selepas mutu persembahan dan fokus penyerang itu merosot.

Bintang Perancis itu hanya merakamkan dua gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya selepas memulakan musim ini dengan sembilan gol.

Selain isu jaringan, permainan pemain berusia 22 tahun itu tampak berkarat apabila kurang menyumbang kepada pasukan.

Dalam lima perlawanan terakhirnya, dua kali Mbappe gagal melakukan sebarang percubaan -- termasuk kejayaan 2-1 ke atas Marseille dalam Trophee des Champions -- selain gagal mencipta peluang berharga buat rakan sepasukannya dalam tiga perlawanan berbeza.

Dia hanya sekali berjaya membuat dua gelecekan dalam satu perlawanan, malah prestasinya mengundang kritikan akibat terlalu kerap kehilangan bola. Ketika berdepan Marseille, dia kehilangan bola sebanyak 19 kali, terbanyak dalam kalangan skuad jaguh Ligue 1 itu.

Bekas pemain tengah dan pengurus PSG, Jean-Michel Larque, yang berkata melalui RMC percaya Mbappe cuba merendah-rendahkan pemain Marseille sambil menambah, cara itu sememangnnya tidak mempunyai tempat dalam PSG.

Namun, menjelang pertembungan Ligue 1 dengan Angers awal pagi esok, Pochettino menegaskan Mbappe sedang berusaha untuk mengembalikan sentuhan terbaiknya.

"Saya sangat gembira dengan penampilan Kylian," kata pengurus dari Argentina itu dalam sidang akhbar.

"Dia adalah tonggak penting bagi kami.

"Dia berusaha keras untuk pasukan. Saya gembira dengan usaha dan penglibatannya ketika berdepan Marseille.



"Seperti yang lain, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan permainan tetapi saya gembira dengan usaha dan komitmen Mbappe. Dia bermain sepanjang 90 minit dalam ketiga-tiga perlawanan (sejak ketibaan Pochettino), ia mencerminkan bahawa saya senang dengan penampilannya.

"Dia menggalas harapan tinggi dan menjadi perhatian tetapi seperti yang saya katakan, saya sangat senang dengannya dan dari semasa ke semasa, dia akan meledak gol dan menyumbang lebih banyak lagi buat pasukan."