Mauricio Pochettino mengakui bahawa dia berada di bawah tekanan untuk memperoleh kejayaan bersama Paris Saint-Germain (PSG) dan memberikan amaran buat pemain bintangnya supaya membuktikan bahawa mereka layak untuk menyarung jersi pasukan itu.

Pengendali berusia 48 tahun itu, yang tidak mengemudikan mana-mana pasukan selepas meninggalkan Tottenham pada Noveber 2019, akhirnya diumumkan sebagai pengganti kepada Thomas Tuchel di Parc Des Princes malam tadi.

Bekas jurulatih Spurs, Southampton dan Espanyol itu menandatangani kontrak bersama pasukan juara Ligue 1 berkenaan sehingga Jun 2022 dan mempunyai pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi.

Pochettino kembali ke pangkuan kelab yang pernah diwakilinya selama dua setengah musim sewaktu bergelar pemain, di mana dia menjulang trofi Piala Intertoto musim 2000-01.

PSG kini telah memenangi lebih banyak kejuaraan berbanding waktu itu dan jurulatih berbangsa Argentina berkenaan sedar tentang jangkaan besar yang diletakkan di bahunya untuk membimbing pasukan itu.

"Saya amat gembira untuk berada di sini. Ia merupakan peluang yang hebat, projek ini amat luar biasa," katanya dalam laman web rasmi pasukan itu.

"Dapat melibatkan diri dengan Paris Saint-Germain secara harian adalah sesuatu yang hebat.

"Saya tidak sabar untuk membina kembali hubungan yang saya pernah ada bersama penyokong. Saya sudahpun memiliki hubungan yang baik bersama mereka ketika saya berada di sini sebagai pemain.


"Paris salah satu pasukan terbesar di dunia dan dalam kelab seperti ini, kemenangan sahaja tidak mencukupi -- sudah pasti anda perlu menang tetapi dengan cara tertentu.

"Pemain yang berada di sini merupakan pemain terbaik. Mereka adalah pemain utama dan perlu menggemari apa yang mereka lakukan di atas padang, itulah aspek yang amat penting.

"Kehendak dan jangkaannya amat tinggi. Saya suka apabila hubungannya seperti persahabatan di antara pemain dan seluruh staf.

"Dan saya mahu semua yang terlibat dengan kelab, stadium dan pusat latihan berasakan seperti mereka sebahagian daripada projek ini.

"Sentiasa ada tradisi kecemerlangan di kelab ini -- pemain perlu layak memakai jersi ini.

"Saya fikir skuad terkini pasukan ini amat luar biasa Saya fikir kami mampu mencapai apa yang dimahukan kelab ini dan apa yang dimahukan pemain. Kerana mereka adalah persaing untuk menjulang trofi," katanya.

Perlawanan pertama yang akan dikendalikan Pochettino adalah kunjungan liga ke laman Saint-Etianne pada Rabu ini.