Sesi sidang media pertama Mauricio Pochettino sebagai pengurus Paris Saint-Germain (PSG) dibayangi soalan mengenai seorang pemain yang diidamkan oleh setiap kelab di dunia.

Bagaimanapun, Pochettino tidak berminat melanjutkan khabar angin mengenai Lionel Messi berikutan kontrak bintang Barcelona itu akan berakhir hujung musim ini selain bebas untuk berunding dengan kelab lain bermula bulan ini.

Sebaliknya, bekas pengurus Tottenham itu hanya mahu memberi fokus kepada tugasan ketika ini, menghasilkan yang terbaik bersama salah satu skuad elit Eropah apabila menganggap sudah pun menerima hadiah istimewa Krismas sempena kepulangannya ke pangkuan bekas majikannya itu ketika bergelar pemain.

Bercakap menjelang pertemuan dengan Saint-Etienne, awal pagi esok, Pochettino - yang secara rasmi menggantikan Thomas Tuchel Sabtu lalu -- berkata: "Saya telah menikmati hadiah Krismas untuk mengemudi kelab sehebat ini.

"Ini luar biasa bagi kami dan ini adalah kesempatan buat saya untuk memenuhi impian kembali ke kelab yang pernah saya wakili 20 tahun lalu. Kami amat menyedari bahawa ini adalah satu cabaran besar dan terdapat tuntutan besar di PSG."




Pengurus kelahiran Argentina itu, bagaimanapun, menepis kelibat Messi dalam agendanya tatkala dia ingin melakar kemenangan dalam sentuhan sulungnya di Stade Geoffroy-Guichard.

"Kami berusaha untuk menyesuaikan diri dengan sebuah kelab baru dan kami harus mempersiapkan diri untuk perlawanan esok, objektif utama kami adalah untuk menang esok," tambahnya.

"Kami mempunyai masa untuk berbicara tentang masa depan. Saya rasa mana-mana pemain handalan di dunia akan sentiasa dialu-alukan di PSG."