Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) mahu budaya menyewakan lesen dalam kalangan jurulatih dihentikan segera kerana ia tidak akan membawa sebarang manfaat kepada jurulatih terbabit serta pasukan yang dilatihnya.

Presidennya, B. Sathianathan, mengesahkan terdapat dua jurulatih pasukan Liga Perdana yang mengamalkan budaya menyewa lesen.

Jurulatih terbabit sudah pun diberi amaran untuk menghentikan amalan ini atau berdepan tindakan keras daripada PJBM.

Sathianathan turut menyarankan pengurusan setiap pasukan agar tidak berkompromi dalam hal ini.

"Untuk mengurangkan atau menjimatkan perbelanjaan, mereka membayar sekitar RM1,000 sehingga RM2,000 untuk lesen A jurulatih terbabit. Untuk tempoh jangka panjang, ia membahayakan pembangunan bola sepak," katanya.

Sementara itu, Sathianathan juga mengesahkan PJBM akan menghantar cadangan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menamatkan budaya merehatkan jurulatih dalam kalangan pasukan.

Bagi Sathianathan, PJBM berasa tindakan merehatkan jurulatih itu tidak adil dan ia lebih baik jika pengurusan pasukan membayar pampasan kepada jurulatih sekiranya tidak lagi menginginkan khidmat mereka.

"Mereka direhatkan, duduk rumah, tidak pergi padang tetapi dapat gaji. Ini sesuatu yang tidak sihat kerana lagi lama mereka berehat, makin hilang sentuhan mereka sebagai seorang jurulatih. Saya rasa merehatkan jurulatih ini tidak adil," katanya.