Dipaksa menjalani latihan di bawah panas terik hari pertama bulan Ramadan oleh jurulatih kelahiran Syria, Fajr Ibrahim menjadi kenangan yang tidak mampu dilupakan bekas kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badri Radzi atau Piya.

Dia bersama dengan pemain pertahanan, Amirizdwan Taj Tajuddin dan dua import, Morgaro Gomis serta Do Dong-Hyun diarahkan menjalani latihan secara berasingan pada sebelah pagi berbanding pasukan Kelantan yang berlatih pada sebelah petang.

"Kejadian itu berlaku dua tahun lepas dan kami diminta untuk berlari mengelilingi padang latihan Mardi sebanyak empat pusingan bagi memanaskan badan.

"Saya cuba meminta penjelasannya tetapi Fajr tidak mengendahkan sebaliknya mahukan kami menghabiskan sesi latihan tersebut.

"Dong pula mahukan Fajr bertolak ansur memandangkan saya dan Taj berpuasa dan cuaca pula sangat panas.

"Kami sedar, ini mungkin sebahagian daripada permainan psikologi Fajer untuk menyingkirkan kami daripada skuad TRW pada masa itu.

"Lucu kalau dikenangkan balik cerita dua tahun lepas yang sudah menjadi sejarah. Saya juga telah memaafkannya dan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap perbuatan jurulatih import itu," katanya.

Sementara itu, mengulas ketiadaannya bersama skuad Kelantan United FC (KUFC) musim ini, Piya menjelaskan terdapat sedikit masalah teknikal yang berlaku menyebabkan dia mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat.

"Saya masih ada kudrat untuk beraksi dalam Liga Malaysia dan tidak berhasrat untuk bersara lagi. Lagipun, ramai pemain senior (sebaya) saya masih terus beraksi di atas padang membantu pasukan masing-masing," tambahnya.

Ditanya aktiviti yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan ini, Piya yang pernah memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MPV) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2013 mahu berkongsi kegembiraan dengan menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan.

"Saya menyeru kepada pemain bola yang diberi Allah rezeki yang mencurah supaya turun ke lapangan membantu orang miskin yang perlukan bantuan," tambahnya.