Andrea Pirlo mempertahankan sikap pemain pertahannnya, Paulo Dybala, selepas Juventus diikat Lazio malam tadi.

Dybala masuk sebagai gantian pada lewat permainan ketika Juve terikat 1-1 dalam perlawanan di Stadio Olimpico itu.

Cristiano Ronaldo meletakkan pasukan kendalian Pirlo itu didepan sebelum Felipe Caicedo menyamakan kedudukan pada minit ke-95 susulan larian kencang yang dilakukan Joaquin Correa.

Pirlo tiada sebarang rungutan mengenai sikap Dybala dengan penyerang itu turut disingkirkan daripada skuad Argentina menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia.

"Saya fikir tiada sebarang salah dengan sikapnya. Dia bersedia untuk melakukan yang terbaik dan mahu membantu pasukan," kata ketua jurulatih Juve itu dalam sidang media.

"Adakalanya ia berlaku apabila anda tidak berada dalam kondisi fizikal terbaik seperti uang dilaluinya ketika ini.

"Dia perlu berusaha dan bermain, kami hanya perlu menangani situasi seperti ini dalam babak akhir setiap perlawanan jika kami mahu menang," katanya.

Juve kini berada di tangga kelima Serie A dengan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, AC Milan.

Mereka di landasan kemenangan sebelum jaringan Caicedo dan sejak musim lalu, pemain kebangsaan Ecuador itu telah menjaringkan lima gol selepas minit ke-90 dalam Serie A -- rekod terbanyak berbanding pemain lain.

"Apabila anda dibolosi satu gol, ia bukan disebabkan oleh individu melainkan keseluruhan pasukan. Kami menang dan kalah sebagai satu pasukan.

"Kami perlu menangani situasi ini dengan cara yang lebih baik, bernafsu untuk mendapatkan kemenangan sehinggat saat terakhir," tambahnya.

Juventus akan kembali beraksi dengan menantikan kunjungan Cagliari pada 21 November ini.