Andrea Pirlo memberikan sokongan kepada pengendali AC Milan, Vincenzo Montella, dan bintang baru kelab, Leonardo Bonucci, dengan menegaskan gandingan ini memerlukan masa untuk menaikkan semula Rossoneri.

Montella berada dalam tekanan di San Siro selepas tewas dalam tiga perlawanan Serie A sebelum aksi perlawanan antarabangsa bermula, dengan pemain bernilai EURO42 juta (RM208 juta), Bonucci, gagal mempamerkan persembahan cemerlang.

Milan sedang melalui fasa penambahbaikan sebelum musim baru bermula, dengan membawa masuk Bonucci, Lucas Biglia, Andre Silva, Hakan Calhanoglu, Andrea Conti, Ricardo Rodriguez, Mateo Musacchio, Franck Kessie, Nikola Kalinic dan Fabio Borini.

Tetapi bekas pemain tengah Milan, Pirlo – yang bakal bersara pada penghujung musim saingan MLS bersama New York City – meminta untuk bersabar dengan pasukan itu.

"Montella bakal dipecat? Saya berharap ia tidak berlaku," kata Pirlo.

"Beliau mengendalikan sebuah pasukan baru. Ia memerlukan masa dan keyakinan untuk mencipta keputusan.

"Mereka juga tidak boleh mengharapkan Bonucci beraksi sama seperti dengan Juve. Dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukannya.

"Dia adalah pertahanan terbaik di Itali dan salah seorang yang paling mantap di Eropah," tambahnya.