Pirlo harap eksperimen di Juventus sudah berakhir

Oleh Muzaffar Musa 21 November 2020 1018
Pirlo harap eksperimen di Juventus sudah berakhir
Andrea Pirlo berharap eksperimennya dalam kesebelasan terbaik Juventus sudah berakhir dan skuad Bianconeri itu boleh memulakan misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan Serie A.

Juve kini berada di tangga kelima Serie A menjelang aksi hujung minggu ini dan ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, AC Milan, dan Pirlo perlu berusaha keras dalam peranan pertamanya sebagai ketua jurulatih.

Dugaan koronavirus dan kecederaan pemain memaksa Pirlo kerap merombak barisan pemainnya tetapi dia kini kelihatan sudah bersedia untuk mewujudkan satu sistem yang akan bergantung kepada gandingan penyerangnya, Cristiano Ronaldo dan Alvaro Morata.

Morata kembali ke Turin awal musim ini dan telah mengambil peranan Paulo Dybala dalam pasukan itu, di mana kedua-dua pemain berkenaan masih belum bergandingan.

Juve juga tidak pernah menang ketika menggandingkan Ronaldo dan Morata dalam barisan permulaan dengan hanya seri ketika bertemu AS Roma dan Lazio sebelum bintang  Portugis itu dijangkiti COVID-19.

Jurulatih itu kelihatan mendapat gambaran jelas ketika menewaskan Spezia 4-1 di mana Morata menemui sasaran sebelum Ronaldo masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol -- kali pertama dihasilkan menerusi gandingan itu.

"Saya harap eksperimen ini sudah berakhir," kata Pirlo kepada Juventus TV.

"Saya berkesempatan untuk bekerjasama dengan pemain yang amat bersedia untuk berbincang dan melakukan perubahan taktikal dan teknikal, jadi saya berpuas hati dengannya.

"Bergantung kepada perlawanan, mungkin ada sesuatu akan berubah tetapi ayuh terlebih dahulu memberikan tanggapan bersemangat dan selepas itu, mungkin kami akan melakukan perubahan," katanya.
 
Pirlo memberikan pujian khas buat Morata, yang menyinar ketika Sepanyol membelasah Jerman 6-0 dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) pertengahan minggu ini.

Penyerang itu, yang dipinjamkan daripada Atletico Madrid, membuka jaringan daripada empat percubaannya.

"Dia (Morata) pemain yang hebat. Kami mengambilnya atas sebab ini.

"Kami mengetahui kualitinya dan dia juga sudah menemui keyakinan dan kesinambungan yang terdapat kekurangan selama beberapa tahun ini.

"Kami menyedari nilainya dan kami ada bersamanya untuk membuatkannya berasa selesa," katanya lagi.

Juve akan menantikan kunjungan Cagliari dalam Serie A awal pagi esok.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen