Pertahanan Barcelona, Gerard Pique, berkemungkinan besar mengalami kecederaan lutut serius dalam perlawanan LaLiga menentang Atletico Madrid awal pagi tadi.

Penyerang Atletico, Angel Correa, terjatuh di atas kaki Pique selepas menerima terjahan dan ia mengakibatkan lutut pertahanan itu tekehel.

Pique kelihatan menanggung kesakitan dan tidak dapat berjalan tanpa bantuan.

Pertahanan tengah itu terpaksa dipapah pasukan perubatan tetapi raut wajah yang dipamerkannya jelas menimbulkan kegusaran buat skuad kendalian Ronald Koeman itu.

Barca ketinggalan 0-1 ketika pemain itu dikeluarkan dan keputusan itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Sebagai tanda sokongan, bekas gandingan Pique di Barcelona dan Sepanyol, Carles Puyol, menciap di Twitter: "Forca @3gerardpique saya harap ia tiada apa-apa."