Tonggak pertahanan Barcelona, Gerard Pique, mengakui pertemuan El Clasico kali ini adalah lebih penting buat pasukannya berbanding Real Madrid.

Madrid ketika ini memimpin LaLiga dengan kelebihan enam mata ke atas seteru ketat mereka itu menjelang pertemuan kedua-duanya di Nou Camp.

Situasi itu membuatkan aksi itu penting buat Barca ekoran dua keputusan seri berturut-turut dalam saingan liga, menurut Pique.

"Ia lebih mustahak untuk kami berbanding mereka," katanya menerusi Mundo Deportivo.

"Ini kerana jika mereka menang, mereka akan mendahului dengan sembilan mata dan itu menyulitkan."

Barca diikat 1-1 oleh Real Sociedad pada Ahad lalu, yang dibantu oleh gol Lionel Messi pada separuh masa kedua untuk membolehkan mereka mengutip satu mata.

Namun, Pique mengetepikan kepentingan keputusan itu dengan berkata, "Semalam bukanlah hari yang bagus.

"Perkara tidak berjalan lancar. Kami memperoleh satu mata dan ia bukanlah begitu buruk.

"Selepas berehat, saya berasakan jika kami menang pada Sabtu ini, situasi pasti berbeza."