Pioli tetap puas dengan kemenangan Milan 

Oleh Penulis Jemputan 9 Disember 2019 90
Pioli tetap puas dengan kemenangan Milan 
BOLOGNA 2 MILAN 3 

Pengurus Milan, Stefano Pioli, berkata dia perlu menyimpan emosinya ketika Sinisa Mihajlovic kembali di bangku simpanan Bologna dalam pertemuan awal pagi tadi apabila mengatakan dia sebenarnya mahu memeluk rakan sejawatannya itu. 


Mihajlovic kembali mengemudi pasukannya sejak menjalani pemindahan tulang sumsum, bulan lalu, selepas didiagnosis dengan leukemia awal tahun ini.

Bologna gagal menghadiahkan kemenangan kepada Mihajlovic apabila Milan meraih kejayaan tipis 3-2 biarpun sempat diancam sepakan penalti Nicola Sansone untuk merapatkan jurang pada lewat permainan. 

Begitupun, Pioli lebih bersemangat untuk bercakap tentang Mihajlovic berbanding prestasi Milan.

"Ia sangat menyenangkan untuk melihatnya," kata Pioli kepada Sky Sport Italia. 

"Saya mahu memeluknya tetapi dia berkata lebih baik tidak (kerana keadaannya). Tetapi ia masih mengujakan, ia detik yang manis. 

"Saya harap dia akan pulih sepenuhnya. Dapat bertemu dengannya benar-benar menyentuh hati saya."

Krzysztof Piatek sudah tentunya lega selepas mengakhiri kemarau gol dalam tempoh hampir dua bulan apabila membuka jaringan dengan sepakan penalti selepas dijatuhkan, justeru Pioli berharap ia akan membantu penggempur dari Poland itu.

"Dia menjadi rujukan utama kami pada hari ini," kata Pioli mengenai anak buahnya itu. 

"Dia memenangi banyak perebutan bola dan memberi impak penting kepada pasukan.

"Kami meramalkan Bologna akan bertahan di zon yang tinggi, jadi kami fikir kami perlu bermain secara langsung dan dia memperagakan permainan yang baik dan akan bertambah yakin."

Theo Hernandez mengharungi perlawanan yang bercampur-baur apabila menjadi pemain pertama sejak rekod Opta diperkenalkan dengan mencetak gol, memasukkan gol sendiri dan dalam masa yang sama, memberikan sepakan penalti dalam pertemuan Serie A itu, namun mujur penyudah Giacomo Bonaventura membantu Milan untuk memungut mata penuh. 

Walaupun terdapat lebih banyak perkara negatif daripada positif yang timbul mengenai prestasi pertahanannya, namun Pioli tetap gembira.

"Khususnya dalam fasa serangan, Theo sangat mantap," kata Pioli. "Dia melancarkan serangan pada detik yang tepat, tegap daripada segi fizikal dan mempunyai kaki kiri yang hebat.

"Dia adalah pemain yang boleh mengganggu keseimbangan pertahanan lawan jika dia diberi ruang untuk melancarkan serangan."

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen