INTER 2 SPARTA PRAGUE 1

Jurulatih Inter, Stefano Pioli, percaya pasukannya perlu terus melakukan penambahbaikan walaupun mereka mencatat kemenangan ke atas Sparta Prague dalam Liga Europa awal pagi tadi.


Menjelang perlawanan di San Siro, Inter sudah pasti akan menamatkan saingan dalam Kumpulan K di tangga tercorot manakala pelawat sudah memastikan tempat mereka di tangga teratas kumpulan.

Bagaimanapun, dua jaringan Eder Citadin Martins menghadiahkan kemenangan 2-1 kepada kelab Serie A itu -- dengan Pioli kemudian berkongsi perkara positif yang dilihatnya dalam perlawanan tersebut sambil melontarkan pandangan bahawa pasukannya perlu memperbaiki persembahan mereka.

"Kami cuba untuk terus berusaha dan kami fokus, tersusun dan mencipta beberapa peluang yang baik," katanya kepada Sky Italia.

"Jelas sekali, pada masa ini, kami masih perlu untuk memperbaiki permainan kami. (Kami harus) menjadi lebih cepat dan lebih berdaya saing.

"Kami sedang mencari sistem yang lebih seimbang (dengan formasi 3-4-3) yang dilihat boleh menjadi lebih berkesan dalam kedua-dua situasi bertahan dan menyerang. Kami akan melihat sistem apakah yang paling sesuai.

"Apa yang diperlukan adalah mengelakkan daripada berlakunya keadaan yang tidak diingini -- yang boleh berlaku kerana kami bukan pasukan yang terbaik di Itali dan sedang kembali daripada keadaan yang sukar -- kerana semuanya akan menjadi lebih sukar buat kami."

Dengan kempen Liga Europa mereka telah berakhir, Inter yang berada di kedudukan ke-10 dalam Serie A akan menjadi tuan rumah kepada Genoa dalam perlawanan Ahad ini.