Stefano Pioli meluahkan kegembiraannya sebaik AC Milan menewaskan salah satu pesaing utama dalam Serie A, AS Roma, 2-0 di laman sendiri lewat malam tadi.

Skuad Rossoneri itu tewas dalam enam perlawanan liga ketika bertemu lima pasukan teratas, iaitu Juventus, Lazio, Inter Milan, Atalanta dan Roma sebelum mencatatkan kemenangan terbaru itu di San Siro.

Roma memenangi tiga perlawanan terakhir liga tetapi mereka jelas beraksi di bawah tahap sebenar sepanjang 75 minit pertama sebelum Atne Rebic menjaringkan golnya yang kelapan musim ini dan Hakan Calhanoglu menyudahkan sepakan penalti pada penghujung permainan.

"Ia amat hangat, ia tidak dijangkakan untuk bermain dengan rentak yang tegang sepanjang 90 minit," kata Pioli kepada DAZN.

"Kami layak memenangi perlawanan ini keana kami sentiasa bekerja keras sebagai satu pasukan walaupun melakukan beberapa kesilapan dan ia sudah agak lama sejak kami menewaskan salah satu kelab besar (dalam saingan ini).

"Ia hanyalah kekurangan daripada segi keputusan dalam perlawanan terdahulu dan bukannya daripada segi prestasi.

"Kami hanya bermain dengan buruk ketika menentang Atalanta.

"Kemenangan ini akan melonjakkan keyakinan kami tetapi perlawanan berikutnya lebih penting," katanya.

Rebic menjaringkan gol pada 14 minit terakhir bagi meneruskan prestasi cemerlangnya dengan menghasilkan lapan gol sejak menyertai pasukan itu tahun ini.

Lebih sinonim di posisi sayap bersama bekas pasukannya, Eintracht Frankfurt, dia kini perlu membiasakan diri dengan peranan sebagai penyerang di Milan, yang masih tidak dapat menurunkan Zlatan Ibrahimovic gara-gara kecederaan.

"Dia merupakan titik rujukan penting dalam menyerang di ruangan," tambah Pioli mengenai Rebic.

"Dia masih boleh berkembang memandangkan dia bukan hanya kuat secara fizikal, malah turut memiliki teknik yang cemerlang.

"Saya fikir dia hanya perlu membiasakan diri di posisi penyerang tengah selain pemain sayap.

"Jika dia mengekalkan sikap seperti ini, dia pasti dapat melakukannya dengan baik," tambahnya.

Roma kini ketinggalan sembilan mata dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.