Pioli gusar ketumpulan Milan

Oleh Penulis Jemputan 16 Disember 2019 37
Pioli gusar ketumpulan Milan
MILAN 0 SASSUOLO 0

Stefano Pioli mengakui fokus utama Milan adalah meningkatkan ketajaman mereka di kawasan lawan selepas mereka dipaksa seri tanpa gol oleh Sassuolo.

Milan kekal di pertengahan Serie A susulan melepaskan deretan peluang di San Siro awal pagi tadi.

Theo Hernandez tidak bernasib baik apabila jaringannya dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) dalam separuh masa pertama dan selepas itu pemain gantian, Rafael Leao, terlepas dua peluang berharga.

Penjaga gol veteran Sassuolo, Gianluca Pegolo, juga membuat rentetan aksi menyelamat mengagumkan, namun Pioli berkata pasukannya harus bertanggungjawab atas peluang yang gagal dimanfaatkan.

"Kami sepatutnya perlu lebih pantas dan bergerak lebih banyak dalam babak pertama tetapi dalam babak berikutnya, kami mempunyai sembilan atau 10 percubaan tepat," kata Pioli kepada Sky Sport Italia. 

"Kami mencuba segala-galanya dan tidak berhasil. 

"Sassuolo merupakan pasukan yang baik -- kami tahu mereka akan menimbulkan masalah. Rafael Leao beraksi dengan baik sejurus dimasukkan. Semua pemain telah berusaha tetapi dengan sedikit ketajaman dan ketepatan, kami boleh membawa pulang mata penuh. 

"Hari ini kami membuat beberapa kesilapan teknikal yang perlu dibayar dengan harga yang sangat mahal. Kami sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik, saya fikir kami tidak mempunyai keazaman dan kemampuan untuk menyempurnakan peluang yang ada. 

"Pemain telah bekerja keras -- hakikatnya kami mempunyai 10 peluang untuk menjaringkan gol dan itu bermakna kami menampilkan persembahan yang baik tetapi batasan terbesar yang kami hadapi ketika ini ialah kami harus mencipta banyak peluang untuk menyumbat gol."

Krzysztof Piatek yang meledak gol kemenangan 3-2 ke atas Bologna minggu lalu gagal mencetuskan impak dan penyerang itu akhirnya berdepan kekecewaan.

Tetapi Pioli percaya tekanan media ke atas pemain berusia 24 tahun berkenaan,  yang sudah merakam empat gol liga musim ini, tidak membantunya. 

"Minggu lalu, media berkata Piatek adalah penyelamat kami, sekarang orang akan kembali mengkritiknya.

"Mereka perlu lebih seimbang secara menyeluruh terhadap penilaian mereka, bukan hanya dia sahaja -- bahkan semua pemain perlu berbuat lebih baik lagi."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen