Juara saingan Premier, Kerteh FC, lebih selesa turun selaku pasukan bukan pilihan untuk aksi final Piala Liga Amatur Terengganu (TAL) menentang Markless ST, Jumaat ini.

Pengurus pasukan, Syed Khairi Amier, berkata Kerteh FC yang membuat penampilan sulung dalam TAL, masih mentah serta kurang berpengalaman berbanding pihak lawan.

Justeru, katanya barisan muda Kerteh FC akan beraksi tanpa tekanan dan hanya semangat berpasukan dan tidak putus asa menjadi kekuatan pasukan itu.

"Kami akan memberikan yang terbaik sehingga minit terakhir perlawanan.

"Kerteh FC lebih fokus dengan misi mengetengahkan pemain berberpotensi ke peringkat lebih tinggi antaranya Wan Amir Ikram Wan Salim yang berumur 17 tahun.

"Aksinya nampak matang di bahagian tengah dan merupakan pemain tonggak dalam setiap perlawanan Kerteh FC," jelas Syed.

Sementara itu, Markless ST pula membawa misi merangkul kejuaraan selepas terkandas di peringkat separuh akhir dalam dua edisi sebelum ini.

Dengan rata-rata pemain akan melebihi had umur, perlawanan pada Jumaat juga menjadi peluang terakhir mereka menjulang trofi kejuaraan Piala TAL.

"Pemain-pemain kini semakin bersemangat selepas mengalahkan juara bertahan, Besut United, di separuh akhir.

"Tiada istilah pasukan pilihan kerana Kerteh FC tidak kurang hebatnya walaupun pertama kali beraksi dalam TAL.

"Bekas penyerang T-Team dan Terengganu FC (TFC) II, Mohd Akram Asidi, akan terus menjadi sandaran kami untuk merobek pintu gol lawan," jelas pengurus pasukan Markless, Mohd Salleh Isa.

Kredit foto: Liga Amatur Terengganu (TAL)


Editor: Ammar Hakim